Ahad, 2 April 2017 | 8:24am

Chelsea perlu bangkit: Conte

CHELSEA tewas 1-2 kepada Crystal Palace, malam tadi. - Foto Reuters
CHELSEA tewas 1-2 kepada Crystal Palace, malam tadi. - Foto Reuters

LONDON: Antonio Conte akur, kekalahan mengejut Chelsea 1-2 kepada Crystal Palace malam tadi kembali membuka ruang kepada perebutan gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

Skuad bimbingan Conte memulakan perlawanan dengan kelebihan 10 mata di puncak liga dan menang 13 perlawanan di Stamford Bridge.

Namun, gol jaringan Wilfried Zaha dan Christian Benteke mengejutkan Chelsea ketika pasukan di tangga kedua, Tottenham menang ke atas Burnley sekali gus menyaksikan kelebihan Chelsea kini hanya tinggal tujuh mata dengan baki sembilan perlawanan.

Bos The Blues, Conte akui perebutan gelaran masih terbuka dan pemainnya perlu segera bangkit ketika menanti kunjungan Manchester City, pada perlawanan pertengahan minggu ini.

"Di satu pihak, ia keputusan yang bagus. Ia menjadikan saingan semakin menarik...kejuaraan," kata Conte.

"Bagaimanapun, saya selalu katakan, liga hanya akan berakhir apabila kamu cukup yakin sudah menang secara matematik.

"Jika tidak, kamu mesti beraksi setiap perlawanan dan cuba untuk menang. Saya ulangi, di England, tidak wujud istilah perlawanan mudah," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Cesc Fabregas meletakkan Chelsea di depan selepas lima minit perlawanan, tetapi Zaha menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Benteke kemudiannya memberikan Palace kelebihan apabila menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-11 perlawanan.

Zaha - pemain sayap Ivory Coast mempamerkan prestasi luar biasa dan begitu cemerlang. Pengurus Palace, Sam Allardyce percaya pemainnya itu kini dalam proses mengeluarkan segala potensi miliknya di tengah padang.

"Dia merasakan dirinya cukup bagus. Ketika ini, ia adalah soal prestasi cemerlang yang konsisten," katanya.

AFP

Berita Harian X