Ahad, 2 April 2017 | 6:37pm

200 polis keracunan selepas makan kari ikan

SEKURANG-kurangnya 200 anggota polis dimasukkan ke hospital, disyaki akibat keracunan makanan selepas menikmati hidangan makan malam di kem latihan, di selatan Kerala. - Foto AFP

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 200 anggota polis dimasukkan ke hospital, disyaki akibat keracunan makanan selepas menikmati hidangan makan malam di kem latihan, di selatan Kerala.

Anggota kadet dan pasukan keselamatan Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (CRPF) itu mengadu cirit-birit dan muntah selepas makan nasi dan kari ikan di kem latihan di daerah Ernakulam, malam tadi.

Ketua Polis Ernakulam, Ashok Kumar berkata, sebahagian besar pesakit sudah dibenarkan keluar tetapi beberapa anggota lain masih menjalani rawatan dan beransur pulih.

"Pihak berkuasa sudah melancarkan siasatan penuh berhubung kejadian ini," katanya.

Keracunan makanan bukan sesuatu yang luar biasa di kawasan berkenaan dan pihak polis sebelum ini membuat aduan terhadap kualiti makanan yang dihidangkan kepada mereka.

Bulan lalu, 32 pengawal sempadan di barat Rajasthan jatuh sakit, juga disyaki akibat keracunan makanan. Januari lalu, kerajaan mengarahkan siasatan menyeluruh apabila seorang pengawal memuat naik rakaman video di atas talian mengenai roti hangus yang dihidangkan kepada anggota pasukan keselamatan.

Pengawal itu menuduh pegawai atasan terbabit menyeleweng makanan yang diperuntukkan kepada mereka, sekali gus menimbulkan kemarahan di kalangan pengguna media sosial, apatah lagi selepas beberapa anggota tentera turut memuat naik aduan yang sama.

CRPF ialah pasukan polis separa tentera yang mengkhusus kepada operasi memerangi pengganas. - AFP

Berita Harian X