Isnin, 3 April 2017 | 10:02am

Eco World International catat premium 11 sen

PENGERUSI, Eco World International Bhd, Tan Sri Azlan Mohd Zainol (dua, kanan) dan Timbalan Pengerusi Eksekutif, Eco World International Bhd, Tan Sri Liew Kee Sin (tiga, kiri) memukul gong sebagai simbolik ketika majlis penyenaraian Eco World International di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur. Turut kelihatan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Eco World International Bhd, Datuk Teow Leong Seng (kanan). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Dagangan sulung tawaran awam permulaan (IPO) Eco World International Bhd (EWD) menyaksikan pemaju hartanah antarabangsa itu mencatatkan premium 9.2 peratus sempena penyenaraiannya di Papan Utama Bursa Malaysia, pagi ini.

Ketika pembukaan dagangan, saham EWD diniagakan pada RM1.31, premium 11 sen berbanding harga tawaran pada RM1.20 dengan sejumlah 14.296 juta saham didagangkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Teow Leong Seng, berkata dengan selesainya penyenaraian sulung syarikat pagi ini, EWD kini bersedia bergerak kukuh selepas kejayaannya menyelesaikan empat projek sebelum ini.

Katanya, dengan sokongan dua pelabur kuat dan berpengalaman, pihaknya yakin syarikat dalam kedudukan tepat untuk merebut peluang baharu di United Kingdom (UK) dan Australia, serta pasaran matang di luar Malaysia.

"Memacu ke depan EWD akan turut bekerjasama dengan GuocoLand Limited dan Eco World Development Group Bhd untuk meningkatkan pembangunan yang sedang dimajukan dan perluasan pasaran," katanya pada majlis pelancaran dagangan sulung IPO di sini, pagi ini.

 

Berita Harian X