Isnin, 3 April 2017 | 4:12pm

Annuar Musa dibenar keluar HUSM


ANNUAR Musa tiba di LTSIP untuk ke Institut Jantung Negara bagi mendapat ratawan lanjut di sana.

KOTA BHARU: Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Sabtu lalu, dibenarkan keluar hari ini.

Bagaimanapun, beliau akan dimasukkan ke dalam wad serta mendapat rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Pegawai Khasnya, Mohd Fadhil Yusoff yang mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi, berkata, Ahli Parlimen Ketereh itu dibenarkan keluar dari Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) pada jam 12 tengah hari tadi.

"Annuar dibenarkan keluar dari HUSM pada jam 12 tengah hari dan kemudian terus menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.55 tengah hari tadi," katanya

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sempat bertemu Annuar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sebelum menaiki penerbangan untuk mendapat rawatan lanjut di IJN.

Sebelum ini, Annuar dilaporkan dimasukkan ke HUSM selepas mengadu pening, sakit dada dan muntah-muntah pada Sabtu lalu.

18 dibaca
Berita Harian X