Isnin, 3 April 2017 | 6:00pm

Lelaki bergelut 40 minit diserang jerung

GAVIN Kleidon terpaksa berpaut pada saki baki serpihan kayak miliknya selepas jerung menggigit dan mengoyak sebahagian besar bot itu. - Foto www.sunshinecoastdaily.com.au

Sydney: Seorang lelaki terpaksa berpaut pada saki baki serpihan kayak miliknya selama 40 minit tetapi terselamat selepas jerung menggigit dan mengoyak sebahagian besar bot itu.

Pengalaman ngeri Gavin Kleidon bermula lewat kelmarin ketika berdayung di Pulau Mud di Teluk Moreton di luar Brisbane, apabila seekor jerung menyerangnya dari belakang.

Kleidon memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) beliau tidak nampak pemangsa itu tetapi sedar apa yang berlaku.

"Saya lihat bahagian belakang bot terapung dan segera tahu apa terjadi.

"Saya cuba memanjat secepat mungkin. Ia karam agak cepat, menyebabkan saya tertekan. Saya mencari pendayung tetapi ia sudah hanyut," katanya.

Ketika duduk di atas saki baki kayak, ombak mula menghempas.

Namun beliau kekal tenang dan mengeluarkan telefon bimbit daripada bekas kalis air dan menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Kleidon berkata, beliau mempunyai idea logik mengenai lokasinya kerana dapat melihat mercu tanda di pesisir pantai tetapi mengharungi penantian selama 40 minit yang panjang ketika polis marin berusaha mencarinya, dengan pesawat menuju ke lapangan terbang Brisbane membantu mengesan Kleidon.

"Saya amat gementar mengetahui jerung itu boleh bertindak cepat, atau masih ada di situ. Saya tidak yakin ketika itu," katanya.

Pakar berkata, serangan jerung meningkat kerana sukan air semakin popular dan membuatnya tertarik untuk menghampiri kawasan pantai, tetapi kes kematian jarang berlaku. - AFP

Berita Harian X