Jumaat, 2 Januari 2015 | 11:02pm

Lebih 80 peratus pengguna di Kelantan terima bekalan elektrik - TNB

KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus pengguna elektrik di negeri Kelantan telah menerima bekalan elektrik setakat petang tadi, kata Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian TNB, Abdul Aziz Abdul Majid berkata, 506 lagi pencawang elektrik belum dipulihkan setakat ini berbanding 1,017 semalam.

"Setakat 4 petang ini, 46 janakuasa bergerak dengan kapasiti sehingga 1,000 kVA (kilo Volt Ampere) juga sedang dioperasikan di Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

TNB juga, katanya, sedang berusaha untuk memasang beberapa lagi set janakuasa di lokasi-lokasi yang memerlukannya.

Syarikat pembekal tenaga itu berkata di Pahang, jumlah pencawang yang belum dipulihkan menurun kepada 239 setakat ini berbanding 301 semalam manakala 58 pencawang di Perak masih dihentikan operasi.

TNB mengingatkan mangsa banjir yang kembali ke premis masing-masing supaya menggunakan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk memeriksa terlebih dulu pendawaian dan peralatan elektrik sebelum digunakan.

Pengguna di Kelantan dan Terengganu boleh menghubungi pejabat ST di talian 09-7487390, Pahang 09-5142803 dan Perak 05-2535413. - BERNAMA

Berita Harian X