Rabu, 5 April 2017 | 4:50pm

Negeri pembangkang belum mohon Ikrar Bebas Rasuah

DATUK Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menandatangani ikrar bebas rasuah pada majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Turut menyaksikan Datuk Dzulkifli Ahmad (kanan). - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan belum menerima permohonan daripada kerajaan negeri ditadbir pembangkang untuk menjalankan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diperkenalkan sejak awal tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata walaupun IBR yang diasaskan ini atas dasar untuk memerangi rasuah sesebuah organisasi termasuk kerajaan negeri itu sendiri namun ia adalah atas inisiatif mereka sendiri untuk menjalankannya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menjalankan upacara melafazkan IBR namun dengan merealisasikan perkara itu, ia membuktikan keikhlasan dan ketulusan mereka dalam memerangi gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Jadi, setakat ini kita tidak menerima apa-apa permohonan (daripada kerajaan pembangkang), jika ada InsyaAllah kita akan pergi.

"Bagaimanapun, saya menggalakkan negeri terbabit menunjukkan keikhlasan dan ketulusan mereka dalam usaha membanteras rasuah di peringkat tertinggi kepimpinan sesebuah negeri itu sendiri," katanya pada sedia media selepas Majlis Menandatangani IBR Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Pada majlis yang dihadiri barisan kepimpinan kerajaan negeri itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengetuai bacaan ikrar yang turut disertai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terengganu menjadi negeri ketujuh yang melafazkan IBR SPRM selepas Sarawak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Perak manakala Sabah, Pahang dan Johor dijangka menyusul tidak lama lagi.

Dzulkifli berkata, kesediaan barisan pimpinan kerajaan negeri melafazkan IBR ini secara tidak langsung membenarkan SPRM mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka jika melakukan perkara bertentangan seperti terbabit dalam gejala rasuah dan salahguna kuasa.

"Ikrar ini adalah suatu inisiatif yang memerlukan komitmen peribadi bagi sesiapa yang melafazkannya, mereka sudah berjanji dan bersumpah akan memastikan pelaksanaan tugas bebas daripada gejala rasuah dan salahguna kuasa," katanya.

Berita Harian X