Rabu, 5 April 2017 | 11:56pm

Semua beregu campuran negara tersingkir

KUCHING: Kem badminton negara menerima tamparan kedua pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini selepas empat wakil Malaysia dalam acara beregu campuran ditunjukkan jalan keluar oleh lawan masing-masing sebentar tadi.

Paling mengejutkan adalah kekalahan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kepada Edi Subaktiar-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia, 21-18, 19-21, 17-21 pada aksi yang berlangsung di Stadium Perpaduan Kuching.

Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei turut gagal melangkah ke pusingan kedua selepas tunduk kepada pasangan Korea Selatan, Choi Sulgyu-Chae Yoo Jung 20-22, 16-21.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut ditunjukkan jalan keluar susulan kekalahan di tangan pasangan Jepun, Kenta Kazuno-Ayane Kurihara 21-6, 19-21, 13-21.

Terdahulu, gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa menarik diri sebelum turun ke gelanggang sekali gus memberi kemenangan percuma kepada lawan mereka dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Kegagalan semua wakil beregu campuran negara itu adalah tamparan kedua diterima kem negara selepas beregu lelaki yang juga pasangan nombor dua dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut tersingkir di pusingan pertama, hari ini.

Berita Harian X