Jumaat, 7 April 2017 | 11:43am

Chelsea tak bimbang tekanan Spurs - Fabregas

Cesc Fabregas
Cesc Fabregas

LONDON: Cesc Fabregas menegaskan Chelsea tidak akan tersungkur dengan tekanan tanpa lelah Tottenham Hotspur ketika pemburuan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali bersambung, esok.

Berbaki lapan perlawanan liga, Chelsea yang menghuni tangga teratas bergantung kepada kelebihan tujuh mata di atas Tottenham yang berada di tangga kedua namun kelab bimbingan Antonio Conte itu mula menunjukkan tanda-tanda goyah.

Chelsea meraih kemenangan 2-1 ke atas Manchester City, semalam, beberapa hari selepas dimalukan dengan kekalahan di laman sendiri melawan kelab bergelut, Crystal Palace.

Ketika itu, Tottenham meraih lima kemenangan berturut-turut termasuk ketika melawan Swansea semalam menerusi kebangkitan menakjubkan 3-1 sekali pun terlebih dulu ketinggalan.

Esok, Tottenham berpeluang untuk menambah tekanan terhadap Chelsea apabila beraksi lebih awal bertemu Watford di White Hart Lane, beberapa jam sebelum Chelsea dijadual melawan Bournemouth.

Bintang tengah Chelsea, Fabregas mengakui pasukannya mula merasai tekanan namun yakin kelab itu sudah bangkit selepas kekalahan kepada Palace.

"Keputusan pada Sabtu memberi banyak tekanan terhadap kami. Kami tahu kami masih mempunyai kelebihan yang baik, namun ini adalah Liga Perdana dan kamu tidak mahu memberikan mata yang mudah terutama di laman sendiri.

"Kami mempunyai karektor. Kami boleh bangkit daripada sebarang perkara yang melanda kami.

"Kami sentiasa berkata sejak daripada awal musim ini, satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami hanya perlu bimbang dengan diri kami, bukannya apa yang orang lain lakukan. Selagi kami kekal menang, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan, " kata Fabregas.

AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X