Jumaat, 7 April 2017 | 8:00pm

Atlet tukul besi menang 2 emas di Korea Selatan

GAMBAR fail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemenang pingat gangsa sukan SEA 2015, Grace Wong Xiu Mei. - Foto BERNAMA
GAMBAR fail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemenang pingat gangsa sukan SEA 2015, Grace Wong Xiu Mei. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua atlet olahraga negara beraksi cemerlang dengan meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Trek dan Padang Jeollanamdo di Korea Selatan, hari ini.

Selain itu, Grace Wong Xiu Wei juga memecahkan rekod kebangsaan enam tahun yang disandang Tan Song Hwa dalam acara baling tukul besi wanita, selepas mencatat balingan sejauh 60.99 meter.

Song Hwa adalah pemegang rekod kebangsaan dalam acara berkenaan menerusi catatan 58.71 meter yang dilakar dalam kejohanan olahraga di Hungary pada 2011.

Dua atlet tuan rumah iaitu Park Seo Jin and Kim Hwi Su terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa selepas masing-masing mencatat balingan sejauh 58.15 meter dan 51.06 meter.

Atlet elit kebangsaan, Jacky Wong pula membaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri selepas melakar balingan sejauh 64.55 meter dalam acara baling tukul besi lelaki untuk membolehkannya dikalungi pingat emas.

Sebelum ini, beliau memegang rekod kebangsaan 64.50 meter yang diciptanya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang 2016.

Dua atlet tuan rumah, Jang Dong Won dan Yoon Seung-Chan, meraih pingat perak dan gangsa dalam acara berkenaan selepas masing-masing mencatat 63.22 meter dan 57.70 meter.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim yang dihubungi berbangga dengan pencapaian dua atlet berkenaan, yang dianggapnya sebagai tonik terbaik untuk skuad olahraga negara menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, 19 hingga 31 Ogos ini.

"Kejayaan mereka membuktikan latihan dan pertandingan di luar negara membuahkan hasil positif dan kita berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan pada kejohanan seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, Karim memberitahu 500 atlet dari seluruh negara telah mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut.

Kejohanan dua hari itu, yang bermula 15 April ini adalah medan memilih 92 atlet terbaik negara ke Sukan SEA 2017. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X