Ahad, 9 April 2017 | 1:26am
SEBAHAGIAN penumpang pesawat penerbangan MH2718 yang diberikan bantuan kecemasan oleh pihak MAB Lapangan Terbang Sibu, selepas insiden pesawat terbabas di Lapangan Terbang Sibu, malam tadi. - Foto ihsan Pembaca
SEBAHAGIAN penumpang pesawat penerbangan MH2718 yang diberikan bantuan kecemasan oleh pihak MAB Lapangan Terbang Sibu, selepas insiden pesawat terbabas di Lapangan Terbang Sibu, malam tadi. - Foto ihsan Pembaca

"Hati tidak sedap sejak dari KLIA"

gn4id:19937138

SIBU: Hati berdebar dan hilang selera makan antara 'petanda awal' pesawat dinaiki bakal dilanda musibah.

Ia antara coretan Mohd Nikman Hashim, salah seorang penumpang pesawat MH2718 yang tergelincir sebelum terbabas sejurus mendarat di Lapangan Terbang Sibu di sini, malam tadi.

Mohd Nikman berkongsi pengalamannya itu dalam akaun Facebook miliknya.

Malah, beliau turut menyatakan suasana dalam pesawat itu, termasuk tangisan bayi yang berpanjangan turut membuatkan perasaannya berdebar, lebih-lebih lagi melihat keadaan cuaca buruk.

Mohd Nikman menyatakan cubaan mendarat kali pertama gagal menyebabkan pesawat berkenaan terpaksa berlegar-legar selama 20 minit di ruang angkasa Sibu sebelum melakukan pendaratan kali kedua.

"Ketika nampak sahaja pesawat menghampiri landasan, hati terus berdebar-debar. Tidak tahu sebab apa. Masa pesawat sudah mendarat, nampak dari cermin (tingkap) kapal terbang berada di tengah landasan tetapi semakin bergerak ke tepi (landasan).

"Kemudian, kapal terbang masuk (terbabas) ke padang (tepi landasan) disusuli bunyi (dentuman) kuat dari bahagian tayar. Saya terus tunduk mengambil posisi selamat. Rasa macam dekat sangat dengan kematian," katanya.

Beliau menyatakan perasaan lega kembali apabila pesawat berhenti sepenuhnya.

"Namun, terfikir pula kalau berlaku kebakaran. Terus usaha mahu cepat keluar dari pesawat. Mak dan ayah duduk di hadapan, saya hanya fokus pada orang tua agar tiada apa-apa berlaku pada mereka," katanya.

Mohd Nikman dan ibu bapanya antara 61 penumpang yang terselamat dalam insiden pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) tergelincir dan terbabas di Lapangan Terbang Sibu, malam tadi.

MOHD Nikman berkongsi pengalamannya itu dalam akaun Facebook miliknya.

Berita Harian X