Ahad, 9 April 2017 | 2:51pm

Lebih 3,000 penumpang terkandas di Sibu


SEBAHAGIAN daripada 3,000 penumpang berbaris untuk menukar tiket penerbangang masing-masing selepas semua 48 penerbangan di Lapangan Terbang Sibu dibatalkan. - Foto NSTP

SIBU: Lebih 3,000 penumpang di Lapangan Terbang Sibu terkandas selepas semua 48 penerbangan keluar masuk dari lapangan terbang itu dibatalkan berikutan insiden pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) tergelincir semalam.

Tinjauan setakat jam 1.30 tengah hari mendapati, suasana masih dalam keadaan kelam kabut dengan kebanyakan daripada penumpang mengambil keputusan menukar tiket ke tarikh lain, manakala ada juga penumpang yang mengambil keputusan untuk menunggu walaupun penerbangan mereka dibatalkan.

Kebanyakan penumpang juga dilihat berbaris panjang di kaunter MAS dan AirAsia untuk menyusun semula jadual penerbangan.

Penjawat awam, Norfadzeela Muhir, 31, berkata beliau sepatutnya menaiki penerbangan ke Kuching pada jam 3:45 petang ini.

"Saya tahu mengenai pesawat tergelincir itu malam tadi, selepas mendapat berita lapangan terbang ditutup, saya terus pergi ke lapangan terbang untuk menukar tiket penerbangan.

"Malangnya semua tiket ke Kuching esok sudah penuh, yang ada pun hanya pada Selasa. Jadi saya membuat keputusan menaiki kereta untuk balik ke Kuching yang mengambil masa 6 ke 7 jam dari Sibu," katanya.

Seorang lagi penumpang, Sujanah Jangbon, 52, berkata anaknya sepatutnya balik ke Kuching menaiki pesawat AirAsia hari ini untuk balik ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Dia menerima mesej dari pihak AirAsia awal pagi tadi memaklumkan mengenai pembatalan penerbangan mereka.

"Sudah sejam lebih menunggu di barisan penumpang ini, saya harap tiket penerbangan anak saya dapat ditukar esok pagi. Jika tidak, terpaksalah dia menaiki bas untuk balik ke Kuching," katanya.

Dalam kejadian jam 10.17 malam tadi, pesawat MH2718 dari Kuala Lumpur dilaporkan tergelincir dan terbabas 1,200 meter dari titik pendaratan sejurus mendarat dalam hujan lebat.

Bagaimanapun, semua 61 penumpang bersama enam anak kapal dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Berita Harian X