Ahad, 9 April 2017 | 9:10pm
KAKITANGAN AirAsia, Mohamad Adzlan Shah (kiri) memberi penjelasan mengenai pembatalan penerbangan yang membabitkan 48 penerbangan, kepada penumpang di Lapangan Terbang Sibu hari ini. - Foto BERNAMA
PESAWAT MH2718 tergelincir lalu terbabas sejauh 1.2 kilometer dari titik pendaratan akibat landasan licin ketika hujan lebat, malam tadi. - Foto ihsan pembaca
KAKITANGAN Malaysia Airport Berhad melaksanakan kerja pembersihan selepas pesawat MAS MH2718 yang tergelincir dialihkan dari landasan Lapangan Terbang Sibu. - Foto Harun Yahya
KAKITANGAN Malaysia Airport Berhad melaksanakan kerja pembersihan selepas pesawat MAS MH2718 yang tergelincir dialihkan dari landasan Lapangan Terbang Sibu. - Foto Harun Yahya

Lapangan Terbang Sibu terus lumpuh


KEADAAN di Lapangan Terbang Sibu selepas syarikat-syarikat penerbangan membatalkan penerbangan mereka hari ini. - Foto BERNAMA

SIBU: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sibu terus lumpuh berlanjutan selama 16 jam dengan tempoh operasinya dijangka bersambung pada jam 12 tengah hari esok, berbanding jangkaan asal pada jam 8 malam ini.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir, berkata penutupan ini terpaksa dilakukan akibat beberapa lubang besar di kawasan sekitar landasan kapal terbang yang disebabkan oleh pergerakan tayar pesawat dalam insiden pesawat tergelincir malam semalam.

"Kami akan meneruskan kerja-kerja pembersihan landasan kapal terbang malam ini dan operasi masuk keluar pesawat di lapangan terbang Sibu hanya akan dibuka jam 12 tengah hari esok.

"Ia perlu dilaksanakan sebagai prosedur keselamatan dan kami telah mengeluarkan notis kepada syarikat penerbangan mengenai penutupan ini. Kami sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan semua operasi kembali kepada biasa," katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Hari ini, sebanyak 48 penerbangan dibatalkan dengan lebih 3,787 penumpang terjejas selepas lapangan terbang Sibu tidak dapat beroperasi sejak tengah malam tadi.

Pada jam 10.17 malam semalam, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH2718 tergelincir lalu terbabas sejauh 1.2 kilometer dari titik pendaratan akibat landasan licin ketika hujan lebat melanda lapangan terbang berkenaan.

Penerbangan yang dibatalkan termasuk pelepasan dan pendaratan dari Kuala Lumpur, Johor Bharu, Kuching, Miri, Bintulu dan Kota Kinabalu.

Berita Harian X