Isnin, 10 April 2017 | 8:06am

Ikonik Piaggio cetus tunggangan sensasi

VESPA Sprint 150 ABS kembalikan zaman retro. - Foto Halim Salleh

APABILA menunggang Vespa Sprint 150 ABS, ia ternyata mengembalikan zaman retro dan BHAuto sudah menjangkakan Ikonik Piaggio ini pastinya memikat hati penulis yang berpeluang menunggang uji model 150cc ini.

Ini kerana sebut saja Vespa, ramai yang terbayang akan rekaan yang mengembalikan zaman kegemilangan skuter yang penuh dengan nostalgia yang tidak lapuk dek masa dari zaman 1950-an hinggalah sekarang.

Peluang BH Auto menunggang uji model ikonik lebih seminggu ini menggamit kenangan zaman ayah ibu penulis sewaktu bercinta dulu. Jika sesi bergambar di ambil di tepi pantai, ia akan menimbulkan lagi sensasi retro. Namun disebabkan kekangan masa, hajat itu tidak dapat dilangsaikan.

Meskipun begitu, menunggang Vespa Sprint 150 ABS di jalan raya utama sudah cukup memberi kepuasan kepada penulis yang mengagumi model ini sejak sekian lama walaupun banyak model skuter berada di pasaran ketika ini.

Warna merah gelap (maroon) yang diberi Naza Premira Sdn Bhd untuk sesi tunggang uji BH Auto bukan saja amat menarik, malah ia menampakkan lagi betapa klasiknya Vespa Sprint 150 ABS.

RUANG untuk meletak barang-barang kecil di bahagian hadapan. - Foto Halim Salleh

MEMPUNYAI ruang menyimpan topi keledar sebesar 16.6 liter di bawah tempat duduk. - Foto Halim Salleh

Rekaan Vespa Sprint 150 ABS masih mengekalkan ciri retro walaupun ia kini ditampilkan dengan enjin automatik selaras dengan peredaran zaman yang menuntut kepada kebersihan alam sekitar demi kelangsungan hidup generasi akan datang.

Walaupun menggunakan jentera sedemikian, ia langsung tidak mengubah reka bentuknya yang sentiasa bersahaja dan 'sempoi' selain pasti membuatkan mata memerhati apabila Vespa Sprint 150 ABS ini menyusuri jalan raya.

Kombinasi warna merah gelap dan krom bagi rim, cermin sisi dan pelindung ekzos serta hitam (tempat duduk, pendikit dan alas kaki) menaikkan seri skuter ini.

Sudah tentu, gaya saja tidak cukup untuk menarik minat pembeli. Vespa Sprint 150 ABS mempunyai aspek praktikaliti yang cukup baik, sesuai dengan statusnya sebagai sebuah skuter.

Selain paparan yang mudah dibaca, ia juga mempunyai ruang menyimpan topi keledar sebesar 16.6 liter di bawah tempat duduk dan ruang untuk meletak barang-barang kecil di bahagian hadapan ruang meletak kaki.

Satu cangkuk juga disediakan sebagai tempat menggantung topi keledar atau beg plastik.

VESPA Sprint 150 ABS tawar pengendalian mudah, efisien. - Foto Halim Salleh

REKAAN Vespa Sprint 150 ABS masih mengekalkan ciri retro. - Foto Halim Salleh

Penulis mendapati Vespa Sprint lebih dari sebuah skuter yang menawarkan pakej lengkap untuk pengalaman menunggang yang mengujakan.

Kebiasaannya, skuter kurang memberikan keyakinan apabila menunggangnya ketika mengambil selekoh. Namun, Vespa Sprint 150 ABS lain dari kebiasaannya kerana penulis amat tidak merasa tergugat meskipun pada kelajuan lebih 80 kilometer sejam (km/j) apabila melakukan olengan badan.

Walaupun rimnya hanya 11 inci yang dipadankan dengan tayar tanpa tiub 110/70 (depan) dan 120/70 (belakang), ia mencetuskan sensasi apabila menunggang pada kelajuan maksimum iaitu 110 km/j tanpa merasa sedikit tergugat.

Gabungan rim, tayar dan sistem suspensi tunggal dengan pegas Helical dan kesan berganda penyerap hentak tunggal bersama Enhanced Slide Suspension meningkatkan lagi keyakinan apabila mengambil selekoh.

Apabila di jalan sesak, seperti biasa kelebihan skuter adalah untuk 'mencilok' kenderaan yang bersusun pada waktu puncak dan Vespa Sprint 150 ABS tiada kompromi dengan situasi berkenaan.

PELINDUNG ekzos Vespa Sprint 150 ABS. - Foto Halim Salleh

Ia amat mudah dikendalikan dalam apa jua keadaan jalan dan paling penting rekaan tempat duduknya amat selesa dan tidaklah besar di mana sesuai dengan badan penulis yang kecil molek ini.

Dengan ciri ergonomik yang sesuai dengan saiz badan penulis, Vespa Sprint 150 ABS bukan saja mudah dinaiki, malah selesa untuk ditunggang walaupun untuk tempoh masa yang agak lama.

Dengan enjin silinder tunggal 4-lejang dan 3-injap, ia menghambur kuasa 8.7kw pada 7,500rpm dan tork puncak 12Nm pada 5,000rpm. Ia amat sesuai dengan berat badan Vespa Sprint 150 ABS iaitu 120 kilogram (kg) yang memberi impak berkesan kepada penunggang.

Secara kesimpulannya, Vespa Sprint 150 ABS tidak hanya menampilkan sisi retro semata-mata, malah merevolusikan jenama Piaggio yang disegani sejak sekian lama.

VESPA Sprint 150 ABS tidak hanya menampilkan sisi retro semata-mata, malah merevolusikan jenama Piaggio yang disegani sejak sekian lama. - Foto Halim Salleh

Info:
Vespa Sprint 150 ABS

  • Harga atas jalan termasik insurans RM18,344.80
  • Enjin silinder tunggal 4-lejang dan 3-injap
  • Kuasa 8.7kw @ 7,500rpm
  • Tork puncak 12Nm @ 5,000rpm
  • Transmisi: CVT/Automatik/ Belt
  • Berat Kering : 120kg
  • Kapasiti tangki minyak: 9 liter
Berita Harian X