Ahad, 4 Januari 2015 | 9:13am

Banjir: Kementerian Kesihatan teruskan aktiviti pencegahan penyakit

PENDUDUK Kampung Seberang Tayor meredah banjir untuk balik ke rumah mereka di Felda Seberang Tayor, Kemaman, minggu lalu. - Foto Effendy Rashid

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneruskan aktiviti dengan memberi tumpuan kepada isu pasca banjir bagi mengelakkan masalah kesihatan yang timbul di negeri terjejas banjir terutamanya di Kelantan.

Pasukan kesihatan yang terdiri dari Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pembantu Kesihatan Awam, Pekerja Rendah Awam dan Pemandu akan melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit dan wabak.

Seramai 42 pasukan kesihatan dari luar negeri Kelantan telah digerakkan ke seluruh daerah terlibat bagi membantu aktiviti ini.

Penggunaan hand sanitizer amat digalakkan bagi menjaga kebersihan diri terutamanya bagi kawasan yang mempunyai masalah bekalan air bersih.

KKM juga akan membekalkan 'hand sanitizer' ke pusat pemindahan bagi kegunaan mangsa banjir terutamanya pengendali makanan.

KKM juga memohon sumbangan 'hand sanitizer' daripada syarikat atau individu bagi memastikan kesihatan orang awam yang terjejas banjir bebas daripada kuman-kuman yang boleh menyebabkan penyakit. Beberapa fasiliti kesihatan telah memulakan aktiviti pembersihan.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan sukarelawan yang melaksanakan kerja-kerja pembersihan di klinik kesihatan atau hospital yang terjejas banjir menggunakan alat perlindungan diri yang bersesuaian semasa menjalankan aktiviti tersebut.

Antaranya adalah dengan memakai boot dan sarung tangan getah serta memakai baju lengan panjang dan berseluar panjang. Individu yang mempunyai masalah kulit atau luka tidak digalakkan terlibat dalam aktiviti pembersihan.

Orang ramai juga digalakkan untuk memakai penutup hidung dan mulut semasa melakukan aktiviti pembersihan apabila lumpur sudah mula kering dan menghasilkan debu.

KKM menasihatkan orang awam supaya segera datang ke klinik yang berhampiran bagi membuat pemeriksaan dan rawatan awal sekiranya menghadapi masalah kesihatan seperti deman, cirit-birit atau muntah-muntah.

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:

Nama: En. Nor Suzaman B. Abdul Rahman

Telefon: 013-399 7025 / 03- 8883 3470

Emel: [email protected]

- BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X