Isnin, 10 April 2017 | 8:49pm

BSKU siasat punca MH2718 tergelincir

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto NSTP/Khairunisah Lokman

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengarahkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) menjalankan siasatan terperinci dengan segera punca pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH2718 tergelincir dari landasan ketika cuba mendarat dalam hujan lebat di Lapangan Terbang Sibu, Sarawak, Sabtu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata hasil siasatan itu penting untuk memastikan proses pelepasan dan pendaratan yang selamat di semua lapangan terbang.

Pada masa sama, katanya, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dan MAS diminta bekerjasama untuk memastikan operasi berjalan seperti biasa dan semua masalah yang timbul berikutan kejadian itu dapat diselesaikan terutama membabitkan penumpang.

"Saya juga mengarahkan MAHB dan MAS agar sentiasa memberi maklumat terkini berkaitan jadual penerbangan kepada semua penumpang," katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Sabtu lalu, Pesawat Boeing 737-800 MH2718 dari Kuala Lumpur dilaporkan terbabas di Lapangan Terbang Sibu disebabkan keadaan landasan yang licin susulan hujan lebat sejak lewat petang hari sama.

Bagaimanapun, MAS mengesahkan semua enam anak kapal dan 61 penumpang dalam pesawat berkenaan selamat.

Berita Harian X