Selasa, 11 April 2017 | 10:17am

Hadi, Tuan Ibrahim kekal jawatan


DATUK Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tun Man

KUALA LUMPUR: Jawatan nombor satu dan dua PAS tidak dicabar pada pemilihan sempena Muktamar Pusat ke-63 yang akan diadakan di Kedah, hujung bulan ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tun Man, masing-masing mempertahankan jawatan tanpa bertanding.

Jawatan Naib Presiden menyaksikan lima pencalonan termasuk tiga penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Exco Kanan Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Turut dicalonkan ke jawatan itu ialah Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan Ketua Penerangan PAS yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Pengerusi Tetap, Hussin Ismail dan Timbalannya, Kamal Shaari masing-masing turut menang tanpa bertanding

Takiyuddin dalam kenyataannya hari ini, berkata seramai 40 orang dicalonkan untuk jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi memilih 18 perwakilan.

Beliau berkata, Muktamar PAS Pusat ke-63 akan memilih barisan kepemimpinan baharu bagi sesi 2017/2019 untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebelum itu, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat akan mengadakan muktamar di peringkat masing-masing mulai 27 April ini.

Katanya, pihak yang menerima pencalonan dikehendaki menyatakan penerimaan pencalonan sebelum 17 April ini.

"Peraturan pemilihan kali ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 pencalonan untuk layak disenaraikan sebagai calon dalam pemilihan pada muktamar PAS kali ini berbanding dengan dua pencalonan sebelum ini," katanya.

Berita Harian X