Selasa, 11 April 2017 | 12:53pm

Polis terima 7 laporan kes tipu pelaburan saham

TAIPING: Polis menerima tujuh laporan berhubung kegiatan penipuan sindiket memperdaya mangsa membuka akaun bank bagi tujuan pelaburan saham dengan menjanjikan pulangan wang.

Difahamkan, ada mangsa hanya menyedari ditipu selepas menerima notis daripada pihak peguam memaklumkan mereka diisytiharkan bankrap.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner, Harrith Kam Abdullah, berkata setakat ini pihaknya menerima tujuh laporan sejak akhir Mac lalu termasuk terbaru satu laporan dibuat semalam.

Katanya, penipuan itu dipercayai dilakukan oleh satu sindiket yang bergerak di daerah ini dan berkemungkinan juga di daerah lain.

"Laporan paling awal diterima polis adalah pada akhir Mac lalu dengan majoriti mangsa adalah dari sini.

"Setakat ini kerugian mangsa yang sudah membuat laporan adalah antara RM10,000 hingga RM70,000," katanya di sini hari ini.

Harrith Kam berkata, polis kini masih menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan skim seperti itu.

Berita Harian X