Rabu, 12 April 2017 | 12:40pm

Pelajar Malaysia di Mesir perlu berhati-hati

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta semua pelajar Malaysia di Mesir supaya berjaga-jaga susulan pengeboman di Tanta dan Iskandariah pada Ahad lalu.

Berikutan itu, KPT melalui pejabat Education Malaysia Egypt (EME) sudah mengedarkan Garis Panduan Keselamatan kepada semua pelajar Malaysia di Mesir mulai 10 April 2017 lalu.

"Susulan kejadian terbabit, pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Mesir mengaktifkan Bilik Gerakan bagi memantau situasi dan perkembangan semasa pelajar kita di sana.

"Semua agensi di bawah kedutaan memantau perkembangan situasi berkenaan terutama di kawasan penempatan pelajar Malaysia di Kaherah, Iskandariah, Tanta, Zagazig, Fayoum dan Assiut," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KPT meminta semua pelajar Malaysia di Mesir untuk berhati-hati serta menjauhkan diri dari kawasan yang dilihat sebagai berisiko tinggi pada masa ini seperti gereja dan balai polis, yang mungkin terdedah kepada bahaya keganasan.

Untuk rekod, sehingga 10 April 2017 lalu, jumlah pelajar Malaysia yang berada di Mesir ialah seramai 454 orang di Tanta manakala 797 orang di Iskandariah.

Pelajar diminta untuk segera menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Mesir di nombor +201200276388 untuk sebarang pertanyaan, bantuan atau sekiranya menghadapi masalah berkaitan isu ini.

Berita Harian X