Rabu, 12 April 2017 | 3:30pm

Malaysia Tigress garang di Jerman


MALAYSIA Tigress beraksi garang di Jerman.

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara terus menampilkan aksi memberangsangkan pada siri Jelajah Eropah apabila melakar kemenangan kedua dengan membelasah Crefelder HTC 7-0 di Cologne, Jerman, awal pagi tadi.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut selepas Malaysia Tigress sebelum ini menundukkan RHTC Bayer Leverkusen 2-0 pada aksi pertama, awal pagi semalam.

Menurut ketua jurulatihnya, Dhaarma Raj Abdullah, anak buahnya menunjukkan perubahan positif sepanjang dua aksi pertama dan ia bekalan positif untuk dibawa bagi menghadapi skuad Bawah-21 Jerman, Sabtu ini.

"Kita terlalu kuat untuk Crefender HTC, tetapi kita tetap berjaya mencapai objektif untuk membiasakan pemain beraksi dalam keadaan cuaca yang sejuk.

"Kita banyak mencipta peluang dan langsung tidak membenarkan lawan masuk ke dalam kawasan D.


KETUA Jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Misi kita dalam 3 perlawanan awal adalah untuk berani menggelecek pemain lawan apabila kita mara ke kawasan D dan objektif itu hampir tercapai," katanya sebentar tadi.

Pada aksi terbabit, skuad negara selesa mendahului 3-0 di suku pertama menerusi ledakan padang Fatin Naimah Zaki pada minit kelapan, Zafirah Aziz (12) dan Norbaini Hashim (14).

Empat lagi gol pasukan ranking ke-22 dunia itu disumbat Hanis Nadiah Onn (21), Norazlin Sumantri (26), Fatin Shafika Sukri (35) dan Nuraslinda Said (39).

Sebelum tiga aksi sebenar bertemu skuad Bawah-21 Jerman, skuad bimbingan Dhaarma terlebih dulu berdepan pasukan Divisyen 2, Raffelberg, awal pagi Jumaat ini.

Seterusnya skuad yang dalam persiapan menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium pada Jun depan itu akan bertolak ke Amsterdam untuk lapan aksi persahabatan di sana.

Berita Harian X