Rabu, 12 April 2017 | 9:00pm

Wanita dibunuh selepas disamun


ORANG ramai mengunjungi rumah seorang wanita, Rokiah Mamat yang ditemui mati dipercayai disamun sebelum dibunuh di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada, Kuala Krai. - Foto Ihsan Pembaca

KUALA KRAI: Seorang wanita ditemui mati dipercayai disamun sebelum dibunuh di rumahnya di Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Abdullah Ronning, berkata mayat mangsa, Rokiah Mamat, 61, ditemui anaknya, Che Hasmarizal Che Hassan, 30, dalam keadaan berlumuran darah di ruang dapur rumahnya, pada jam 3.30 petang tadi.

Katanya, Che Hasmarizal yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Embak, di sini, ketika sampai di pekarangan rumah mendapati mangsa tidak keluar dari rumah seperti biasa walaupun sudah membunyikan hon.

"Pada mulanya, anak mangsa tidak mengesyaki apa-apa namun mendapati pintu dapur di bahagian tepi rumah terbuka.

"Sebaik anak mangsa masuk, dia ternampak jasad ibunya berlumuran darah di ruang dapur dipercayai ditikam dengan senjata tajam di bahagian belakang," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, hasil keterangan anak mangsa, pada jam 7.15 pagi, Che Hasmarizal bersama isteri dan anak keluar untuk ke sekolah.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian iaitu pada jam 9 pagi mangsa ada keluar menemui jirannya sebelum kembali ke kediamannya.

"Hasil siasatan, polis percaya mangsa berkemungkinan dibunuh kira-kira jam 11 pagi berdasarkan daripada kesan darah di lokasi kejadian.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat," katanya.

Berita Harian X