Khamis, 13 April 2017 | 8:32am

Kes heret keluar penumpang: United Express bayar pampasan

KAPAL terbang United Airlines. - Foto AP
KAPAL terbang United Airlines. - Foto AP

CHICAGO: Syarikat penerbangan United Express berkata, penumpang yang diheret keluar dari pesawat itu Ahad lalu, akan dibayar pampasan berdasarkan kos pembelian tiket.

Jurucakap syarikat, Megan McCarthy hari ini berkata, penumpang terbabit akan diberi pampasan itu secara tunai, kredit atau jarak penerbangan.

Malam Ahad lalu, tiket penerbangan 3411 dari Chicago ke Louisville, Kentucky sudah habis dijual dan penumpang sedang menunggu untuk berlepas apabila syarikat itu mengumumkan memerlukan empat tempat duduk untuk kakitangannya.

David Dao, 69, doktor keturunan Vietnam dari Elizabethtown, Kentucky, adalah seorang daripada empat penumpang yang diminta turun bagi memberi tempat kepada empat pekerja United Airlines yang perlu ke Kentucky.

Beliau diheret keluar daripada pesawat oleh beberapa pegawai keselamatan apabila enggan berbuat demikian.

Rakaman video di Facebook yang menunjukkan tiga pegawai keselamatan mengheret Dao dari pesawat United Airlines tersebar di media sosial dan mendapat kritikan keras.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Oscar Munoz bagaimanapun sudah memohon maaf di atas insiden itu, semalam. - AP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X