Khamis, 13 April 2017 | 10:50pm

Karya tanpa tajuk Syed Ahmad tumpuan lelongan Galeri Prima

KARYA lukisan tanpa tajuk Syed Ahmad tumpuan lelongan Galeri Prima.

KUALA LUMPUR: Lukisan dihasilkan Seniman Negara (SN), Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal yang jarang ditemui, adalah antara karya bakal menjadi tumpuan pada lelongan eksklusif Galeri Prima, Balai Berita NSTP, di sini.

Lukisan itu adalah satu daripada 144 karya seni dari sekitar Asia Tenggara yang dipamerkan dan dilelong pada 23 April ini, manakala sesi prebiu bagi semua karya berkenaan bermula hari ini sehingga 22 April dari jam 11 pagi hingga 7 malam.

Lukisan Syed Ahmad itu adalah karya dengan harga bidaan permulaan termahal, iaitu antara RM75,000 hingga RM135,000, selain turut menampilkan karya daripada beberapa artis terkenal seperti Chia Yu Chian, Datuk Chuah Thean Teng, Yusof Ghani, Awang Damit Ahmad, Dr Jolly Koh dan Ahmad Zakii Anwar.

 

Antara karya luar negara yang dilelong adalah yang dihasilkan oleh Hery Dono, Angki Purbandono, Leonardo Aguinaldo, Bonny Setiawan, Cheng Shui dan Victor Balanon.

Karya Syed Ahmad itu dihasilkan pada tahun 1958 di Kirkby, England memaparkan seorang gadis Melayu berbaju kebaya dan kain batik sedang merenung ke luar jendela.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang melihat pameran lukisan 'Henry Butcher Art Auctioneers' di Galeri Prima, Bangsar. - Foto Khairull Azry Bidin

Tangan kanan gadis itu menggenggam erat langsir bersama skaf nipis, seolah-olah menunjukkan kemarahan, walaupun riak mukanya tidak menunjukkan sebarang emosi.

 

Sementara itu, Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers, Sim Polenn, berkata karya tidak bertajuk itu adalah pertama kali dipamerkan kepada umum sejak dihasilkan hampir 60 tahun lalu.

"Karya ini sebenarnya menggemparkan dunia seni kerana Syed Ahmad tidak pernah menghasilkan lukisan seorang wanita, sebaliknya lukisan abstrak dengan warna yang terang.

 

"Ini sebenarnya adalah kali kedua saya melihat lukisan seperti ini yang dihasilkan oleh Syed Ahmad. Itulah yang menjadikan karya ini istimewa dan jarang.

 

"Lukisan ini kurang sempurna kerana sudah dimamah usia menyebabkan harganya sedikit rendah, namun kami memilih untuk tidak memperbaikinya kerana mahu membiarkannya sebagaimana yang dihasilkan sendiri oleh tangan Syed Ahmad, " katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X