Jumaat, 14 April 2017 | 1:41am

PDRM umum kenaikan pangkat, pertukaran


Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, Datuk Tajudin Md Isa. - Foto NSTP/Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengumumkan Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, Datuk Tajudin Md Isa, diantik Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman, berkuat kuasa 15 Mei ini.

Selain itu, Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, pula akan dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis (CP) dan menjawat jawatan Timbalan Pengarah (Risikian/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datin Asmawati Ahmad, berkata jawatan lama Tajudin, akan diambilalih oleh Ketua Penolong Pengarah Pengurusan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Mohamed, yang akan dinaikkan pangkat sebagai Deputi Komisioner (DCP).

"Ketua Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran) Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah, akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebagai Ketua JPJKK dengan pangkat sama.


Komander STAFOC, Datuk Huzir Mohamed, bakal menjawat jawatan Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, dengan pangkat Komisioner Polis (CP).

"Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Md Sakri Arifin, dinaikkan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC) dan bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJK Bukit Aman," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, Ketua JPJKK Kelantan, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, bakal bertukar sebagai Ketua JPJKK Sabah, dan turut dinaikkan pangkat sebagai SAC.

Antara 33 pegawai lain yang turut diumumkan bertukar dan dinaikkan pangkat adalah Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Johor, Asisten Komisioner Sharul Lalli Masduki, sebagai Ketua Penolong Pengarah (D8) JSJ, Bukit Aman, sebagai SAC.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Faridalathrash Wahid, turut diumumkan bertukar sebagai Ketua JSJ Kedah, dengan kenaikan pangkat SAC.

Berita Harian X