Jumaat, 14 April 2017 | 1:06pm

Putera Mahkota Jepun lawat PERMATApintar

 

BANGI: Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito, meluangkan masa hampir sejam ketika melawat Pusat PERMATApintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Baginda tiba pada jam 11.10 pagi dengan menaiki kenderaan khas kerajaan Persekutuan berwarna hitam yang dikawal ketat anggota polis dan pengawal istana Jepun.

Ketibaan baginda disambut isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Program Permata Negara (PERMATA), Datin Seri Rosmah Mansor, dengan diiringi muzik gamelan.

Naruhito kemudian meluangkan kira-kira 30 minit dalam sesi taklimat mengenai perkembangan pendidikan dan program dilaksanakan PERMATA bersama Rosmah serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof Datuk Dr Riza Atiq Abdullah Rahmat serta Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak.

Baginda kemudian melihat persembahan muzik serta pameran eksperimen Matematik, Fizik, Biologi dan Kimia oleh pelajar Pusat PERMATApintar Negara.

Sementara itu, Rosmah ketika ditemui berkata, Naruhito menzahirkan rasa kagum terhadap program dan aktiviti di Pusat PERMATApintar Negara dalam mendidik kanak-kanak berbakat.

"Beliau juga mahu mempertingkatkan kerjasama dan program pertukaran pelajar antara PERMATA dengan sekolah terpilih dan sekolah pintar Jepun yang sudah terjalin sejak tahun 2014," katanya.

Putera Naruhito yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.30 petang semalam, memulakan lawatan rasmi lima hari ke Malaysia sehingga 17 April ini.

Kunjungan pertama kali pewaris pertama takhta Jepun itu bertujuan memperkukuhkan hubungan diplomatik Tokyo-Kuala Lumpur, selain meraikan kemuncak 60 tahun persahabatan antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 1957.

 


PUTERA Mahkota Jepun, Putera Naruhito bersama isteri Perdana Menteri merangkap Penaung PERMATA Negara, Datin Seri Rosmah Mansor melawat pameran sains PERMATA Negara sempena lawatan rasmi 5 hari di Pusat PERMATA Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X