Jumaat, 14 April 2017 | 3:30pm

Nasharudin sangkal tuduhan Rafizi


PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr Nasharudin Mat Isa. - Foto fail NSTP/Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berhubung penerimaan sumbangan daripada SRC International Sdn Bhd.

Bekas Timbalan Presiden PAS itu dalam kenyataan hari ini, menegaskan segala kenyataan Rafizi dalam kenyataan bersumpah (SD) tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

"Kenyataan itu adalah fitnah dan berniat jahat kepada saya dan PAS.

"Saya ingin menegaskan saya bersedia bekerjasama dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya juga telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk langkah seterusnya termasuk memulakan tindakan undang-undang dan apa juga tindakan wajar dilakukan menurut lunas undang-undang yang mana dianggap wajar dan suai manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Rafizi kononnya Nasharudin ada menerima dana daripada SRC International Sdn Bhd.

Berita Harian X