Jumaat, 14 April 2017 | 3:39pm

Tolak spekulasi keterlaluan pelantikan Hishammuddin


KHAIRY ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Dialog TN50 bertema TN50: Mendepani Populasi Malaysia Yang Berusia kepada peserta Persidangan Pengurusan KWSP 2017 di Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas spekulasi keterlaluan berhubung pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas, termasuk dakwaan ia adalah sebahagian pengukuhan kuasa Perdana Menteri.

Beliau berkata, spekulasi yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri dan pemilihan UMNO akan datang adalah tidak berasas kerana pelantikan Hishammuddin mendapat sokongan penuh Kabinet.

Katanya, pelantikan itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu dan semua menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan.

"Kita memerlukan kepimpinan kanan yang kuat dalam kerajaan, begitu juga dalam parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya pada sidang media memperkenalkan Duta Transformasi Nasional 2050 (TN50) di sini, hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Pelantikan itu akan membolehkan Hishammuddin menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Selain itu Khairy berkata, pelantikan Hishammuddin juga mendapat reaksi positif daripada ahli akar umbi.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, beliau berkata perkara itu hanya akan dijawabnya selepas pilihan raya umum nanti.

Berita Harian X