Jumaat, 14 April 2017 | 7:17pm

Penggiat industri pembinaan wajib patuhi CDM

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan mewajibkan semua pihak yang terbabit dalam industri pembinaan tempatan mengikuti peraturan Reka Bentuk dan Pengurusan Binaan (CDM) dalam setiap projek yang dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata mekanisme itu penting bagi memastikan setiap projek pembinaan mengikuti peraturan yang ditetapkan dalam keselamatan dan kesihatan.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian lain yang terbabit mengubah dasar peraturan industri pembinaan sedia ada.

"Ini membabitkan perubahan dasar (kerajaan). Oleh itu, kita perlu adakan perbincangan di peringkat kementerian dan agensi berkaitan terlebih dulu sebelum dijadikan satu dasar baharu (industri pembinaan)

"Kerjasama dengan kementerian lain seperti kementerian kewangan juga penting untuk menilai pelaksanaan peraturan ini dari segi peruntukan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi perbincangan meja bulat mengenai amalan keselamatan dalam pembinaan sempena Minggu Pembinaan Antarabangsa 2017 (ICW 2017) di sini, hari ini.

Fadillah berkata, CDM adalah peraturan yang diamalkan United Kingdom (UK) serta turut dilaksanakan di Singapura dalam amalan keselamatan dan kesihatan di industri pembinaan.

Katanya, perubahan dasar itu kelak sejajar dengan matlamat kerajaan mengurangkan 50 peratus kadar kemalangan dalam industri pembinaan menjelang 2020 berdasarkan statistik kemalangan, kematian ketika ini, 11 orang dari setiap 100,000 pekerja sektor pembinaan.

Sebagai permulaan, beliau berkata, peraturan itu akan dilaksanakan bagi projek kerajaan dikendalikan Jabatan Kerja Raya sebelum diperluaskan sebagai satu peraturan wajib untuk seluruh industri pembinaan.

"Kementerian juga akan mengadakan ujian awal pelaksanaan peraturan berkenaan dan mahu pemain-pemain industri mengikut garis panduan CDM dalam projek mereka.

"Selepas itu baru kita akan wajibkan kepada semua pemain industri pembinaan dari peringkat atasan sehingga ke penyelia tapak pembinaan. Semua perlu ada pemahaman dan mengikuti dasar baharu ini kelak," katanya.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memberi komitmen penuh membantu mempromosi pelaksanaan CDM secara kerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, CIDB bersedia membantu penggiat industri untuk memahami keperluan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh JKKP dan juga memberi latihan yang diperlukan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X