Sabtu, 15 April 2017 | 6:52am

Penggodam dedah NSA ceroboh sistem perbankan Asia Barat


NSA menemui dan mengeksploitasi banyak kelemahan dalam pelbagai produk Microsoft Windows yang digunakan secara meluas dalam komputer seluruh dunia. - Foto AFP

NSA menemui dan mengeksploitasi banyak kelemahan dalam pelbagai produk Microsoft Windows yang digunakan secara meluas dalam komputer seluruh dunia. - Foto AFP

WASHINGTON: Fail yang disebarkan penggodam misteri, Shadow Brokers, menunjukkan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat menyusup masuk ke dalam rangkaian perbankan SWIFT dan memantau beberapa bank di Asia Barat.

Menurut penganalisis keselamatan komputer, fail berkenaan menunjukkan NSA menemui dan mengeksploitasi banyak kelemahan dalam pelbagai produk Microsoft Windows yang digunakan secara meluas dalam komputer seluruh dunia.

Secara umum, analisis menerima fail berkenaan yang menunjukkan seseorang mengeksploitasi apa yang digelar 'hari sifar' atau kelemahan tidak diketahui dalam perisian dan perkakasan biasa, datang daripada NSA.

Ia dipercayai dicuri daripada unit penggodam sulit digelar 'Equation Group' di agensi perisikan utama AS.

"Bahan dan eksploitasi yang disebarkan hari ini secara khusus direka untuk menyasarkan versi terdahulu sistem operasi Windows," kata pakar keselamatan, Pierluigi Paganini, di laman Hal Ehwal Keselamatan.

Ia menunjukkan NSA menyasarkan sistem perbankan SWIFT beberapa bank seluruh dunia.

Fail menunjukkan NSA menyusup masuk ke dua biro perkhidmatan SWIFT, termasuk EastNets, yang menyediakan perkhidmatan teknologi di Asia Barat bagi SWIFT beribi pejabat di Belgium, dan bagi institusi kewangan individu. - AFP

Berita Harian X