Ahad, 16 April 2017 | 6:27pm

Wanita hamil meninggal akibat H1N1

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan kematian seorang wanita mengandung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Khamis lalu kerana diserang virus Influenza A (H1N1).

Dr Mohamad Omar. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Dr Mohamad Omar. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Pengarahnya, Dr Mohamad Omar, mengesahkan perkara itu selepas berita mengenainya tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Dr Mohamad berkata, pesakit itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 7 April lalu selepas demam selama seminggu.

"Kita memberikan rawatan terbaik namun pesakit gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 13 April lalu.

"Pesakit mendapatkan rawatan di klinik swasta sebelum dirujuk ke HSNZ. Dia terus dimasukkan ke ICU sebaik tiba di HSNZ," katanya pada sidang media di HSNZ, hari ini.

Dr Mohamad berkata, kematian pesakit itu menjadi viral di laman sosial hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau meminta orang ramai tidak menyebarkan viral berkenaan kerana virus H1N1 dianggap selsema bermusim dan tidak berbahaya.

"Sejak 2013, H1N1 tidak lagi berbahaya kecuali kepada golongan tertentu sehingga perlu dipantau dan dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

"Ia berisiko menjadi teruk kepada empat golongan iaitu kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan pesakit kronik," katanya.

Berita Harian X