Selasa, 18 April 2017 | 11:17am

Serina luah krisis rumah tangga

KUALA LUMPUR: Selepas lama berdiam diri, Serina Redzuawan akhirnya meluahkan perasaan berhubung kemelut rumah tangga yang dihadapinya sekarang.

Ibarat pepatah 'berat mata memandang bahu memikul', Serina berharap kisah pergolakan rumah tangganya dengan Gavin Edward O'luanaigh yang sudah dirujuk ke Mahkamah Syariah, tidak perlu diperbesarkan lagi.

"Banyak sangat berita keluar mengenai rumah tangga saya kebelakangan ini. Saya sebenarnya tak berminat nak sensasikan rumah tangga kami. Sebab itu saya hanya berdiam diri.

"Tidak ada insan yang mendirikan masjid ingin merobohkannya. Saya sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan rumah tangga ini, malangnya banyak perkara yang terlalu sensitif dan tak boleh diceritakan menjadi punca.

"Hingga saya memfailkan perceraian. Apa yang kamu semua baca, menerusi Instagram papa saya dan apa yang Gavin jawab, realitinya hanya Serina yang tahu dan menanggungnya," katanya melalui perkongsian di laman Instagram.

Serina memberitahu, bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan juga mempunyai hak bersuara.

"Papa juga ada hak bersuara kerana dia bapa saya. Saya harap tak perlu kita besarkan isu ini lagi. Janganlah melempar minyak pada apa yang sedang marak menyala," katanya.

Tambah Serina, dia mengharapkan pengertian peminat dan penyokong keluarga mereka.

"Biarlah mahkamah putuskan apa yang terbaik. Memang saya sangat sedih dan 'down'. Apabila tengok anak dijemput dari sekolah, saya mesti menangis kerana senyuman mereka tak pernah lekang. Mereka masih kecil dan tak tahu apa yang berlaku.

"Saya tak nak mereka trauma nanti apabila baca pelbagai komen. Doakan semua selesai dengan baik.

"Terima kasih kepada yang menyokong dan pihak juga. Saya minta maaf tak dapat nak jawab panggilan dan soalan bertubi-tubi. Harap apa yang saya kongsi secara rasmi di Instagram ini dapat membantu serba sedikit," luahnya lagi.

Terdahulu Serina turut memuat naik kata-kata motivasi berbunyi, "Perempuan yang kuat ialah mereka yang mampu memberikan senyuman pada pagi ini seperti dia tidak menangis malam semalam.

"Serina juga meluahkan dirinya reda dengan ketentuan hidup.

"Aku terima jika ini takdirnya. Pasrah dan berserah pada qada serta qadar. Jangan pandang belakang lagi dan teruslah ke hadapan kerana ini bukan penghujungnya," katanya.

Kisah pergolakan rumah tangga Serina dan Gavin tercetus sejak tahun lalu lagi, namun ibu kepada Tristan Tareef dan Isabella Saffiya ini memilih mengunci mulut.

Serina dan Gavin bernikah pada 1 Januari 2010.

Berita Harian X