Selasa, 18 April 2017 | 9:16pm

PERODUA kuasai 35.9 peratus pasaran

KUALA LUMPUR: PERODUA menjual hampir 50,300 kenderaan pada suku pertama 2017, mewakili peningkatan 6.5 peratus daripada 47,200 unit yang dijual suku sama tahun sebelumnya.

Ia mewakili anggaran 35.9 peratus penguasaan pasaran daripada keseluruhan 140,000 unit kenderaan yang dijual setakat tahun ini.

Pada suku pertama 2016, PERODUA turut menguasai perkongsian pasaran 35.9 peratus dengan 47,200 unit dijual daripada jumlah jualan industri 131,300 unit.

Pada asas bulan ke bulan, PERODUA menjual 19,500 unit kenderaan pada Mac 2017 berbanding 17,300 unit bulan sama tahun sebelumnya, mewakili peningkatan 13 peratus.

"Peningkatan angka jualan itu disebabkan pengenalan Axia yang diberi penambahan baharu dan juga promosi agresif bagi model-model lain," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, angka itu berdasarkan penyelidikan dalaman syarikat dan tertakluk kepada angka rasmi daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Pendapatan daripada jualan peralatan termasuk aksesori menokok lima peratus pada suku dikaji daripada RM65 juta suku dalam sama tahun sebelumnya.

"Bagi perniagaan badan dan cat, pertumbuhan pendapatan ialah sebanyak 17 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan keputusan positif ke atas keputusan yang kami dibuat untuk mengembangkan perniagaan ini kira-kira tujuh tahun lalu," kata Aminar.

Perodua mengeluarkan 49,218 kenderaan pada suku dikaji berbanding 48,300 unit tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pada suku itu PERODUA mengeksport 941 kenderaan ke enam negara, iaitu penyusutan 41 peratus daripada 1,600 kenderaan suku sama tahun sebelumnya.

Berita Harian X