Selasa, 18 April 2017 | 11:07pm

Skuad Petanque sasar kemilau Sukan SEA

SEPANG: Selepas meraih pingat gangsa di Kejohanan Petanque Dunia, di Belgium, jurulatih skuad negara, Zani Lisa Mohamed percaya anak didiknya mampu mengatasi pencapaian menang satu pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura.

JURULATIH Petanque Negara, Zani Lisa Mohamed. - Foto BERNAMA

Malah, katanya, prestasi anak didiknya membuktikan mereka mampu menyaingi negara kuasa besar sukan itu seperti Perancis, Madagascar dan Thailand.

"Tidak salah jika saya katakan mereka mampu meraih kejayaan yang lebih baik pada Sukan SEA Kuala Lumpur nanti," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Skuad negara membawa pulang satu pingat gangsa di Kejohanan Petanque Dunia yang berlangsung di Ghent, Belgium, menerusi gandingan Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz dalam acara beregu campuran.

Ia adalah kejayaan pertama Malaysia di peringkat dunia.

"Pemain kini berada pada prestasi terbaik mereka.

"Sasaran awal kita di kejohanan ini hanyalah setakat mara ke suku akhir tetapi Syed Akmal dan Nur Thahira berjaya melangkah hingga ke separuh akhir," kata Zani Lisa.

Pada temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura, skuad negara membawa pulang satu pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

"Pencapaian di Singapura adalah yang terbaik dalam sejarah penyertaan kami di temasya itu sejak 2001, iaitu pertama kali kita dapat pingat emas.

"Pada Sukan SEA kali ini, kita berhasrat menambah satu lagi pingat emas seperti ditetapkan MSN (Majlis Sukan Negara) yang menyasarkan pencapaian lebih baik," katanya.

Mengenai pesaing pada temasya Sukan SEA nanti, Zani Lisa berkata Thailand dan Kemboja adalah pesaing utama tetapi tidak melihatnya sebagai tekanan.

Acara petanque pada Sukan SEA Kuala Lumpur menawarkan tujuh pingat emas. - BERNAMA

Berita Harian X