Rabu, 19 April 2017 | 12:19pm

Monorel Melaka kembali operasi akhir bulan

DATUK Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Hussin. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Perkhidmatan Monorel Melaka di tebing Sungai Melaka yang beberapa kali dihentikan operasinya akibat masalah teknikal, dijangka kembali memulakan perkhidmatannya hujung bulan ini.

Ia susulan pelan transformasi dilakukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan membangunkan semula projek terbengkalai sejak tahun 2013 bernilai RM21 juta itu.

Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Hussin, berkata berdasarkan laporan yang diperoleh projek berkenaan kini sudah 99 peratus siap.

"Setakat ini, masih ada lagi kerja-kerja sampingan bagi menaik taraf landasan serta stesen monorel, sebelum ia dapat beroperasi semula.

"Pada masa sama, kita turut menambah satu lagi perkhidmatan monorel menjadikan jumlahnya dua, sekali gus memberikan perkhidmatan pelancongan santai kepada orang ramai di pesisir Sungai Melaka," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Zainal berkata, pihaknya juga menaik taraf dua stesen monorel iaitu di Stesen Tun Ali dan Stesen Hang Jebat bagi keselesaan pelancong.

Perkhidmatan Monorel Melaka yang memiliki landasan sepanjang 1.6 kilometer sebelum ini dirasmikan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 20 Oktober 2010 sempena hari pengisytiharan Melaka Maju 2010.

Bagaimanapun, selepas setahun beroperasi perkhidmatan itu tergendala susulan dua penumpang yang juga pelancong dari Britain terkandas pada 1 November 2011.

Pada 25 Disember 2013 pula, tiga pelancong dari Australia terpaksa dibawa turun menggunakan kren dari ketinggian lebih lima meter selepas perkhidmatan monorel itu secara tiba-tiba berhenti di tengah perjalanan.

Berita Harian X