Sabtu, 22 April 2017 | 7:52am

Daesh mengaku serang pejabat perisik

Pegawai Kementerian Dalam Negeri Russia menghalang jalan berhampiran pejabat Perkhidmatan Russia Persekutuan Keselamatan (FSB), yang diserang seorang lelaki bersenjata, di Khabarovsk, Russia, semalam. - Foto Reuters

WASHINGTON: Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab dalam insiden serangan ke atas pejabat agensi perisikan utama tempatan Russia, FSB di Khabarovsk, semalam.

Kumpulan pemantau berpangkalan di Amerika Syarikat berkata, Agensi Berita Amaq, ejen propaganda Daesh membuat pengakuan itu dalam satu kenyataan ringkas dalam bahasa Arab yang disebarkan menerusi Telegram, dengan memetik 'sumber keselamatan'.

Dalam kenyataan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh kumpulan pemantau SITE, sumber berkata, serangan anggota Daesh itu menyebabkan tiga terkorban, manakala beberapa orang lagi cedera.

Sementara itu, pegawai Russia berkata, dua orang terbunuh dalam insiden serangan itu, masing-masing seorang kakitangan FSB dan orang awam.

Seorang lagi dilaporkan cedera.

Menurut FSB, penyerang ditembak mati dan menambah: "Maklumat diperoleh berdasarkan barang yang dimilikinya menunjukkan kaitan dengan kumpulan neo-Nazi."

Laporan Amaq diterbitkan sehari selepas kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Paris, yang mengorbankan seorang anggota polis dan mencederakan dua yang lain. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X