Sabtu, 22 April 2017 | 10:23pm

2 militan Caucasus ditembak mati

MOSCOW: Pihak berkuasa Russia menembak mati dua penjenayah daripada kumpulan militan Daesh berdekatan bahagian utara wilayah Caucasus yang sedang dalam perancangan membunuh beberapa pemimpin keagamaan.

Jawatankuasa Antipengganas Kebangsaan berkata, dua penjenayah itu dibunuh ketika berbalas tembakan lewat malam tadi selepas menembak ke arah pegawai apabila kereta mereka ditahan dalam pemeriksaan keselamatan di sebuah kampung di Stavropol, selatan Russia.

"Agensi keselamatan mendapat maklumat bahawa dua penjenayah itu merancang melakukan beberapa jenayah termasuk pembunuhan individu keagamaan berpengaruh dan beberapa orang awam, " katanya dalam kenyataan.

Moscow sedang melaksanakan usaha memerangi militan di utara Caucasus iaitu kubu kuat kumpulan militan yang sedang berperang di Iraq dan Syria.

Russia turut dilaporkan berada dalam keadaan siapsiaga susulan pengeboman di stesen kereta api bawah tanah Saint Petersburg pada 3 April yang mengorbankan 15 nyawa.

Tiada pihak tampil mengaku menjadi dalang serangan itu sehingga hari ini.

Militan Daesh sebelum ini mengaku bertanggungjawab dalam serangan Jumaat lalu ke atas pejabat ejen keselamatan FSB di timur bandar Khabarovsk yang meragut dua nyawa.

Bagaimanapun, penyiasat Russia bertegas menyatakan penyerang terbabit adalah lelaki muda yang mempunyai kaitan dengan gerakan neo-Nazi dan tiada sebarang bukti pembabitan kumpulan pengganas antarabangsa dalam serangan itu.

AFP

Berita Harian X