Ahad, 23 April 2017 | 3:27pm

KPTM Kota Bharu perkenal 5 program baharu

KOTA BHARU: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu akan memperkenalkan lima program baharu peringkat diploma tahun depan, tambahan kepada lapan program ditawarkan di institusi berkenaan ketika ini.

Pengarahnya, Mohd Sahidi Yaakob, program yang akan diperkenalkan adalah Diploma Perbankan dan Kewangan Islam, Diploma Sains Industri, Diploma Kejuruteraan Perisian, Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan Diploma Industri Bio.

Katanya, Diploma Perbankan dan Kewangan Islam, Diploma Sains Industri dan Diploma Kejuruteraan Perisian sudah mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) manakala dua lagi dalam proses.

"Bagi peringkat awal, kita menyasarkan pengambilan 50 pelajar bagi setiap program.

"Sepertiga pelajar yang menuntut di KPTM Kota Bharu mengikuti pengajian dalam bidang Diploma Kejururawatan dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik KPTM Kota Bharu 2016, di Kelantan Trade Centre (KTC) yang dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah KPTM Sdn Bhd, Datuk Zaluzi Sulaiman, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Wan Nur Shahirah Husnina Wan Mohamad dari Diploma Agro Teknologi dan Noralia Mohd Noor Azemi dari Diploma Pengurusan Perniagaan adalah dua daripada 429 pelajar KPTM Kota Bharu dinobatkan Pelajar Terbaik Keseluruhan Sesi 2016.

30 dibaca
Berita Harian X