Ahad, 23 April 2017 | 5:49pm

'Untittled' karya Syed Ahmad Jamal dijual RM140,000


MAJLIS lelongan karya seni anjuran Henry Butcher Art Auctioneers di Galeri Prima, Balai Berita. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Lukisan 'Untittled' karya Seniman Negara, Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal, dijual pada harga RM140,000 dalam lelongan di Galeri Prima, Balai Berita, di sini, hari ini.

Ia sekali gus menjadi bidaan tertinggi dalam lelongan karya seni anjuran Henry Butcher Art Auctioneers.

Karya dihasilkan pada 1958 di Kirkby, England itu memaparkan gadis Melayu berbaju kebaya, berkain batik merenung ke luar jendela. 

Harga bidaan lukisan itu bermula pada RM70,000 dan dibida hingga 29 kali sebelum akhirnya dijual pada harga RM140,000, menjadikannya antara karya Syed Ahmad Jamal yang termahal dilelong di Galeri Prima.

Turut menjadi tumpuan pembida adalah lukisan bertajuk Black Moon 13 karya Eng Hwee Chu (RM60,000), acra Takhta Perebutan karya Raja Shahriman Raja Aziddin (RM48,000), Lukisan berjudul E.O.C 1993 karya Awang Damit Ahmad (RM48,000) dan Lukisan berjudul Fruit Season karya Datuk Chuah Thean Teng. 

Apa yang menarik, semua hasil seni dari 1960-an hingga 2015 itu diperoleh daripada pengumpul, bukan artis.

Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers, Sim Polenn, berkata ini adalah kali pertama karya seniman itu dijual kepada umum. 

"..karya beliau kebanyakannya dipamerkan di galeri seni termasuk di Balai Seni Negara. Ini adalah pertama kali pengumpul karya Allahyarham menjual koleksinya. 

"Beliau jarang berkarya dengan motif wanita, sebaliknya abstrak dengan warna terang. Itu yang menjadikan karya ini sangat istimewa dan jarang ditemui," katanya.

Katanya, lukisan terbabit kurang sempurna kerana dimamah usia, namun pihaknya memilih tidak memperbaiki karya itu sebaliknya membiarkannya sebagaimana dihasilkan sendiri oleh tangan Syed Ahmad Jamal.

 

INFO 

Lelongan lukisan di Galeri Prima

 

- 144 karya seni dari sekitar Asia Tenggara dipamerkan untuk lelongan di Galeri Prima NSTP

- Bidaan bermula dari RM 70,000 hingga RM 140,000

- Antara karya luar negara dihasilkan oleh Hery Dono, Angki Purbandono, Leonardo Aguinaldo, Bonny Setiawan, Cheng Shui dan Victor Balanon.

Berita Harian X