Ahad, 23 April 2017 | 6:23pm

115 RKB masih belum siap


DATUK Seri Mustapha Mohamed (dua kanan) pada Majlis Penyerahan Kunci RKB Mangsa Banjir 2014 di Sungai Durian, di Kuala Krai, hari ini. - Foto Faris Zainuldin

KUALA KRAI: Hanya 115 Rumah Kekal Baharu (RKB) daripada 1,279 rumah yang dibina agensi Kerajaan Persekutuan untuk keluarga mangsa banjir di Kelantan pada Disember 2014, masih belum siap.

Kesukaran mendapatkan tanah sesuai di Kuala Krai seperti kawasan berbukit yang ditawarkan kerajaan negeri untuk pembinaan RKB menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lain bagi membeli tanah persendirian.

Begitu juga dengan masalah infrastruktur dan kontraktor turut dikenal pasti sebagai punca kelewatan RKB disiapkan.

Bagaimanapun, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berharap segala masalah dapat diselesaikan segera sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata, sehingga kini 30 RKB di Kampung Manjor, Kuala Krai dan di Gua Musang, 70 di Kampung Limau Kasturi; tujuh di Sungai Kerian dan lapan di Lebir, masih belum siap.

"Saya juga sudah meminta Agensi Pengurusan Mangsa Banjir (NADMA) untuk meneliti masalah yang menyebabkan kelewatan dan bagaimana untuk mengatasinya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci RKB Mangsa Banjir 2014 di Sungai Durian, di sini, hari ini.

Seramai 107 keluarga mangsa banjir menerima kunci rumah hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abdul Rashid Harun dan Ketua Bahagian UMNO Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, sebanyak 11,391 rumah yang terjejas akibat banjir besar di seluruh negara.

"Kelantan adalah negeri terbesar menerima sumbangan RKB iaitu sebanyak 2,010 dan 1,279 dibina oleh Kerajaan Pusat, 219 oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan 512 oleh kerajaan negeri," katanya.

Berita Harian X