Rabu, 26 April 2017 | 7:23am

Costa ledak dua gol benam Southampton

DIEGO Costa meraikan jaringan gol ketiga dengan rakan sepasukan ketika menentang Southampton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto Reuters
DIEGO Costa meraikan jaringan gol ketiga dengan rakan sepasukan ketika menentang Southampton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto Reuters

LONDON: Chelsea terus menjarakkan jurang kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mengekalkan momentum kemenangan di Stamford Bridge apabila meraih kemenangan 4-2 ke atas Southampton, awal pagi tadi.

Keputusan itu meletakkan Chelsea kini tujuh mata di depan pencabar terdekat mereka di tangga kedua liga, Tottenham Hotspur.

Jaringan Eden Hazard, kapten Gary Cahill dan dua gol Diego Costa menjamin Chelsea untuk kekal berada di landasan tepat meraih gelaran berganda selepas menewaskan Tottenham dengan keputusan sama pada aksi separuh akhir Piala FA di Wembley, Sabtu lalu.

Kemenangan itu meletakkan Chelsea kini 78 mata selepas 33 perlawanan dan memberikan lebih banyak tekanan kepada Spurs, yang wajib menang ke atas Crystal Palace dalam aksi awal pagi esok, bagi mengekalkan jurang empat mata dimiliki sebelum ini.

Conte sekali lagi merombak pasukannya dengan memasukkan Costa dan Hazard - pemain yang berada di bangku simpanan di Wembley dan corak taktikal direncanakan pengurus dari Itali ini jelas membuahkan hasil.

Chelsea membuka tirai jaringan pada minit kelima apabila Costa berjaya mengawal hantaran Cesc Fabregas sebelum menyediakan ruang buat Hazard untuk meledak jaringan, menewaskan penjaga gol lawan, Fraser Forster.

Tersentak dengan jaringan itu, barisan Claude Puel bangkit mencari jaringan penyamaan dan meraih hasil pada minit ke-24 menerusi gol bekas pemain tengah Chelsea, Oriel Romeu.

Chelsea kembali mendahului pada saat akhir babak pertama menerusi Cahill sebelum Costa meledak gol ke-50 peribadi dalam Liga Perdana pada minit ke-53.

Costa yang kemarau jaringan sebelum ini, menambah jaringan keduanya pada minit ke-89 sebelum Southampton menghasilkan gol keduanya pada masa kecederaan menerusi seorang lagi bekas pemain Chelsea, Ryan Bertrand.

Ketika perlawanan berbaki lima minit, Conte memasukkan kapten kelab, John Terry yang mengumumkan pemindahannya dari Chelsea hujung musim ini selepas lebih 18 tahun menjadi pemain senior. - REUTERS

Berita Harian X