Khamis, 27 April 2017 | 11:18pm

Bekas jaguh pecut Jirapong laung amaran awal


BEKAS Raja Pecut Asia Tenggara, Jirapong Meenapra.

SINGAPURA: Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Jirapong Meenapra memberi amaran awal beliau masih pelari yang perlu dihormati pada Sukan SEA Kuala Lumpur apabila menjuarai acara 200 meter Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura di Stadium Nasional, hari ini.

Pelari berusia 23 tahun dari Thailand itu mencatat masa 21.49 saat untuk mengatasi jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan (21.65s) dan Michael Romanin dari Australia (21.75s) yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Malaysia turut mempunyai empat lagi wakil dalam acara akhir ini iaitu Muhammad Haiqal Hanafi yang mencatat 21.80s, Jonathan Nyepa (21.84s), G Aravin Thevar (21.91s) dan Badrul Hisyam Abd Manap (21.97s).

Jirapong jelas mahu memadam memori buruk di Stadium Nasional Singapura, gelanggang sama yang menyaksikannya kehilangan kedua-dua gelarannya dalam acara 100m dan 200m Sukan SEA 2015, bagi mencari semangat untuk dibawa ke temasya dwitahunan edisi 2017 pada Ogos nanti.

Bagi Khairul Hafiz, beliau akan sekali lagi berpeluang menguji kemampuan menentang Jirapong dalam acara 100m yang akan diadakan esok.

Bagi acara 200m wanita, juara Sukan SEA 2015, Veronica Shanti Pereira nyata terlalu handal apabila menamatkan lariannya dalam masa 24.54s untuk muncul juara mengatasi pelari negara, S Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli yang masing-masing mencatat 24.75s dan 24.89s untuk tempat kedua dan ketiga.

Selepas Nauraj Singh mencatat rekod baharu kebangsaan acara lompat tinggi lelaki dengan ketinggian 2.30 meter untuk muncul juara, sekali gus mendapat tiket ke Kejohanan Dunia, Nurliyana Kamaruddin turut menjuarai kategori wanita.

Beliau melepasi ketinggian 1.78m, terikat dengan peserta tuan rumah, Michelle Sng tetapi menang atas kiraan semula manakala seorang lagi wakil negara yang juga pemegang rekod kebangsaan pada ketinggian 1.80m, Yap Sean Yee sekadar menduduki tempat ketiga dengan 1.75m.

Sementara itu, pemenang pingat emas acara lontar peluru Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli yang memburu peluang layak ke Sukan SEA sekadar mampu mencatat 16.54m untuk menduduki tempat keempat.

Acara itu dimenangi atlet Taiwan, Lin You Ting yang mencatat 17.16m, diikuti dua peserta Thailand, Thawat Khachin (17.04m) dan Promrob Juntima (16.83m). - BERNAMA

Berita Harian X