Khamis, 27 April 2017 | 11:47pm

Penyokong bangga prestasi Hobin Jang Hobin


TIMBALAN Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com), Mohamad Faidzul Mohd Noh. - Foto Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com) menyifatkan pencapaian Negeri Sembilan pada pusingan pertama saingan Liga Perdana begitu memberangsangkan.

Timbalan Presiden kelab itu, Mohamad Faidzul Mohd Noh berkata, skuad Hobin Jang Hobin berjaya mempertahankan kedudukan selaku peneraju carta, selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan.

Katanya, walaupun hanya beraksi dalam Liga Perdana, keputusan itu sangat membanggakan buat penyokong selepas tiga musim tanpa sebarang kejayaan.

"Ini adalah pencapaian yang begitu memberangsangkan walaupun perjuangan musim ini masih jauh.

"Semuanya kerana faktor pengurusan mantap dengan komitmen dan semangat tinggi untuk membantu pasukan kekal dalam prestasi terbaik.

"Apa yang diharapkan, skuad bimbingan Mohd Asri Ninggal terus konsisten dalam persembahan pada pusingan kedua nanti bagi mencapai sasaran dinaikkan ke Liga Super musim depan," katanya, hari ini.

Selepas menamatkan 11 perlawanan, Negeri Sembilan kekal di puncak carta liga dengan 27 mata hasil lapan kemenangan dan tiga seri.

Pasukan itu diekori rapat Terengganu yang meraih 24 mata hasil enam kemenangan dan empat seri serta sekali tewas.

Mohamad Faidzul berkata, pasukan bergelar Rusa itu perlu dimantapkan lagi selepas prestasi sejak kebelakangan ini agak menggusarkan apabila membazir mata berharga selepas seri dengan Johor Darul Ta`zim II (JDT II) dan Perlis.

Langkah itu penting menjelang tugas getir bertemu Pahang dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Ahad ini.

"Kami harap pemain Negeri Sembilan dapat kekalkan prestasi terbaik dan mampu melepasi halangan Pahang untuk mara ke final Piala FA," katanya.

Berita Harian X