Jumaat, 28 April 2017 | 8:18pm

Pokok Ipoh tumbang akibat ribut

POKOK Ipoh tumbang akibat hujan lebat dan angin kuat di Dataran Keretapi Tanah Melayu (KTM), Ipoh. - Foto Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Ribut yang disertai hujan lebat selama kira-kira sejam di beberapa lokasi di bandar raya ini bukan saja mengakibatkan beberapa pokok besar tumbang dan menghalang laluan, malah turut mengakibatkan bumbung kediaman di beberapa kampung diterbangkan angin.

Ribut turut menumbangkan pokok Ipoh yang terletak di Dataran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini, yang sejak sekian lama menjadi ikon bandar raya ini, sempena nama pokok berkenaan.

Selain itu, sebatang pokok yang berusia puluhan tahun setinggi kira-kira 30 meter turut tumbang hingga melintangi laluan kedua-dua hala di Jalan Silibin di sini, hingga mengakibatkan laluan menuju Silibin dari Ipoh terpaksa dilencongkan ke Jalan Taman Pertama manakala laluan dari Silibin menghala Ipoh dilencongkan ke arah Jalan Raja Perempuan Mazwin, berhampiran Bulatan Silibin.

Beberapa kediaman di Kampung Seri Kinta, Kampung Sungai Tapah, Kampung Kuala Pari Hilir serta Kampung Tengku Hussein, Manjoi turut mengalami kerosakan selepas bumbung diterbangkan ribut, selain beberapa pokok tumbang turut dilaporkan di beberapa lokasi di bandar raya ini.

Sebatang pokok turut tumbang menghempap sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Kledang Raya 22, namun kenderaan berkenaan tidak mengalami kerosakan teruk kerana pokok tersadai pada talian kabel elektrik dan telekomunikasi.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Kamarul Zaman Subari yang bertanggungjawab membersihkan kesan pokok tumbang di Jalan Silibin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 4.04 petang dan bergegas ke lokasi bersama dua jentera dan 12 anggota.

"Setakat ini pemeriksaan mendapati tiada sebarang kenderaan ditemui di bawah runtuhan pokok dan kerja pembersihan sedang giat dijalankan bersama jentera Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sebuah kedai menjual kenderaan terpakai yang terletak kira-kira dua meter dari pokok berkenaan turut mengalami kerosakan.

Berita Harian X