Ahad, 30 April 2017 | 7:40am

Sufastaiyyah mahu hak buat salah


Manusia tidak boleh menentukan benda yang hak dan batil mengikut logik akal mereka melainkan dipandu oleh kebenaran agama Islam. - Foto hiasan

Imam Najm al-Din al-Nasafi dalam kitabnya Al-'Aqaid al-Nasafiah memulakan perbahasan dengan kata-kata, "Telah berkata ahl haq: Hakikat sesuatu kewujudan adalah sabit dan ilmu mengenainya boleh dicapai, bersalahan dengan (pegangan) golongan Sufastaiyyah."

Sufastaiyyah adalah golongan yang meyakini tiada kebenaran mutlak. Imam Taftazani sewaktu mensyarahkan kitab akidah penting ini menghuraikan makna hak merujuk kepada pertimbangan mengenai kejadian dan hakikat sebenar, sementara yang bertentangan dengannya ialah batil.

Malangnya, dalam perbahasan dan perjuangan membela 'hak' sesuatu yang dianggap menyeleweng ataupun salah tidak lagi diberi perhatian. Mereka mengatakan kebebasan untuk berbuat kesalahan, kesesatan dan penyelewengan juga adalah sejenis 'hak'.

Baru-baru ini seorang kolumnis akhbar menyatakan antara punca jenayah rogol dalam kalangan umat Islam berterusan adalah disebabkan tradisi Islam yang tidak membezakan antara perlakuan seks secara suka sama suka atau paksaan dan menganggap kedua-duanya sebagai zina.

Islam sebaliknya bagi beliau, hanya membezakannya hubungan seks antara yang halal (melalui perkahwinan) dan haram (di luar perkahwinan).

Kenyataan penulis seolah-olah mahu menyatakan hubungan seks haram yang dilakukan dengan kerelaan itu lebih baik daripada hubungan halal yang dikatakan bukan kerelaan dengan merujuk kepada isu perkahwinan kanak-kanak.

Golongan liberal-sekular

Persoalannya, sejak bila benar dan salah dalam agama ditentukan oleh apa yang manusia suka atau tidak suka? Adakah hukum Islam berdasarkan apa yang manusia suka dan rasa baik baginya atau apa yang Tuhan katakan ia baik?

Amatlah rugi apabila tradisi keilmuan Islam yang kaya sejak zaman berzaman akhirnya diruntuhkan oleh golongan liberal-sekular yang mengatakan tiada siapa yang boleh memahami ajaran Tuhan yang sebenar.

Tiada siapa menafikan setiap individu mempunyai kemuliaan yang tidak dibezakan antara satu sama lain. Justeru, setiap manusia mempunyai hak sama untuk mendapat pendidikan, kehidupan yang baik, pemilikan harta serta peluang hidup yang saksama.

Namun, apa yang menjadi pertikaian ialah apabila wacana dihalakan kepada membela kebatilan seperti kerosakan akidah dan akhlak sehingga sekatan atau larangan yang dikenakan dianggap sebagai mencabuli hak.

Bukan berlandaskan ilmu

Sebagai seorang Muslim, pertimbangan benar dan salah yang berlandaskan pandangan alim ulama haruslah dijadikan landasan dalam pertimbangan. Normalisasi kebatilan tidak akan menjadikan perkara yang batil itu sebagai benar apatah lagi menjadi hak.

Perlakuan songsang lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) bukan sahaja ditolak Islam malah agama lain. Sikap terbuka kepada gejala songsang di Barat ketika ini bukanlah satu bentuk penerimaan ataupun pembenaran daripada agama mereka.

Sebaliknya, merekalah yang membelakangkan agama untuk memenuhi tuntutan manusia yang berubah-ubah. Barangkali istilah toleransi yang digunakan hari ini sudah tidak sesuai untuk pengharusan atau pembenaran berkenaan.

Toleransi mengandaikan sekurang-kurangnya perkara itu dianggap salah atau tidak dipersetujui tetapi pelakunya tidak didiskriminasi mahupun dizalimi. Apa yang berlaku kini, perkara itu sudah tidak mahu dianggap kesalahan malah dibangga-banggakan dan cuba dianggap normal.

Bekas Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) UTM, Prof Wan Mohd Nor menyatakan, zaman ini adalah zaman orang ingkar kepada ilmu, mereka tidak mahu tahu kebenaran dan tidak mahu tahu siapakah yang benar.

Keras kepala

Oleh itu, mereka tidak mahu dibetulkan kerana bagi mereka kebenaran itu relatif atau tidak boleh diketahui secara mutlak. Walhal, itulah matlamat utama kedatangan Islam untuk memastikan manusia memperoleh ilmu mengenai hakikat seperti Tuhan, manusia, kehidupan, matlamat terakhirnya dan cara mereka menjalani kehidupan ini.

Saidina Ali RA mengatakan, manusia ini terdiri daripada tiga golongan iaitu golongan terpelajar yang tugasnya mengajar sementara golongan kedua ialah golongan yang belajar. Selebihnya (golongan ketiga) adalah makhluk liar.

Jika menyedari diri tidak mampu mengajar, hendaklah kita menjadi daripada kalangan mereka yang sentiasa mahu belajar kerana pasti kita tidak mahu tergolong dalam kategori yang ketiga itu.

Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Berita Harian X