Isnin, 1 Mei 2017 | 12:09am

Pedro bawa Chelsea hampiri gelaran


PEDRO. - Foto AFP

LONDON: Gol pembukaan Pedro menjadi inspirasi buat Chelsea untuk melakar kemenangan 3-0 ke atas Everton sebentar tadi sekali gus semakin hampir dalam misi menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Skuad bimbingan Antonio Conte dipaksa bekerja keras bagi memecahkan benteng pertahanan Everton tetapi gol Pedro pada babak kedua meletakkan The Blues di landasan tepat bagi meraih gelaran liga keempat.

Dua gol menerusi Gary Cahill dan Willian melengkapkan kemenangan bergaya Chelsea dengan anak buah Conte kini mempunyai kelebihan tujuh mata di tangga teratas liga.

Kemenangan itu turut memberikan tekanan kepada penghuni tempat kedua, Tottenham Hotspur yang akan bertemu Arsenal, sebentar lagi.

Tanpa mengira keputusan yang terhasil di White Hart Lane, peluang kejuaraan Chelsea musim ini terletak di tangan mereka sendiri pada baki empat perlawanan menentang Middlesbrough, West Bromwich Albion, Watford dan Sunderland.

Chelsea memerlukan sembilan mata lagi bagi membolehkan mereka ditabalkan sebagai juara liga pada musim pertama Conte mengendali pasukan.

- AFP

Berita Harian X