Isnin, 1 Mei 2017 | 9:52am

Buka pintu muzakarah demi ummah: Pemuda UMNO


KETUA Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin. - Foto Shahrizal Md Noor

ALOR SETAR: Pemuda UMNO Kedah sedia membuka pintu 'muzakarah' bersama Pemuda PAS selepas parti itu memutuskan untuk menamatkan hubungan tahalus siyasi bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata kesediaan pihaknya itu selepas melihat sekiranya ada perkara dan isu yang memerlukan persetujuan demi kepentingan antara kedua-dua pihak khususnya dalam soal pembangunan ummah.

"Pemuda UMNO Kedah percaya kedua-dua entiti iaitu PAS dan UMNO sudah boleh melalui suasana kematangan politik yang meyakinkan untuk mengadakan perbincangan dan muzakarah walaupun mempunyai pandangan politik dan prinsip yang berbeza," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam Muktamar PAS Ke-64 meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR dan kesediaan untuk bertanding di kerusi milik parti itu sekiranya kata putus Majlis Syura Ulama memutuskan untuk menamatkan hubungan politik PAS-PKR.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Kedah menyifatkan tindakan itu bertepatan dengan prinsip PAS dan pegangan parti itu selama ini dan ia wajar dipuji susulan langkah berani ditunjukkan ketiga-tiga sayap parti untuk memberi pandangan kepada pucuk pimpinan bagi menamatkan tahaluf siyasi dgn segera bersama PKR.

"Pemuda UMNO Kedah percaya PAS masih lagi mempunyai sokongan dan mampu menggerakkan parti dengan lebih baik walaupun tidak mempunyai pertalian atau hubungan politik bersama PKR.

"Dalam pada masa sama mereka tidak lagi perlu menanggung beban kepincangan politik di Selangor mahupun di Pulau Pinang yang dilihat semakin meruncing dan bermasalah," katanya.

Shaiful Hazizy menegaskan Pemuda UMNO Kedah bersetuju dengan pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menyifatkan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) adalah parti yang 'celaru' tanpa hala tujuan dan berasaskan dendam serta sama sekali bukan alternatif yang tepat untuk orang Melayu.

"Pemuda UMNO percaya PPBM adalah parti yang semata-mata ingin 'menumpang' demi melihat kekalutan di dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Kegoyahan kemahiran kepimpinan dan prinsip perjuangan yang tidak menentu PPBM akan membawa keruntuhan parti tersebut di mana sudah banyak kawasan sedang dibubarkan akibat ahli yang sudah hilang kepercayaan," katanya.

Berita Harian X