Isnin, 1 Mei 2017 | 10:12am

Kanak-kanak maut dirempuh van

CAMERON HIGHLANDS: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut manakala dua parah selepas sebuah van peniaga pasar malam merempuh kawasan pasar malam Golden Hill di sini malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, Adra Mustaffa Kamal, parah akibat dilanggar van berkenaan dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, dua wanita pula parah dengan seorang patah kaki manakala seorang lagi cedera di kepala.   

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian Adra sedang memilih barang permainan di sebuah gerai di pasar malam berkenaan. 

"Pada masa sama, seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga peniaga sedang memandu vannya untuk pulang sebelum dipercayai menekan pedal minyak dengan kuat bagi mengeluarkan bunyi supaya pelanggan memberikan laluan kepadanya. 

"Van berkenaan bagaimanapun secara tiba-tiba bergerak laju ke hadapan dan merempuh gerai dan juga beberapa pengunjung pasar malam itu. 

"Kanak-kanak berkenaan maut manakala dua lagi wanita parah dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk menerima rawatan selepas dipercayai patah kaki serta cedera di kepala. 

"Mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HSHK) di sini untuk bedah siasat," katanya di sini hari ini. 

Hasadid berkata, laporan polis yang diterima daripada pemandu van berkenaan mendakwa seluruh badannya mengalami kekejangan dan tidak sedarkan diri buat seketika ketika kejadian. 

Katanya, pemandu van berkenaan tidak mengalami kecederaan dan ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Beliau berkata, polis juga sudah mengambil sampel air kencing dan darah pemandu berkenaan untuk dianalisis.

 

Berita Harian X