Isnin, 1 Mei 2017 | 4:55pm

Pengetua Pondok Sungai Durian meninggal dunia


PENGETUA Madrasah Muhammadiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Ismail Sulaiman, 77, meninggal dunia pagi tadi. - Foto ihsan Yahya Yaacob

KOTA BHARU: Pengetua Madrasah Muhammadiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Ismail Sulaiman, 77, meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada jam 11.48 pagi tadi.

Allahyarham yang menghembus nafas terakhir di sisi keluarga meninggalkan tiga isteri dan empat anak.

Anak saudaranya, Datuk Dr Abdul Basit Abd Rahman berkata, bapa saudaranya yang diserang penyakit itu sudah terlantar sejak tiga tahun yang lalu.

Beliau yang juga Mudir Pondok berkata, keadaan bapa saudaranya yang lebih dikenali sebagai Pak Su Weil tenat sejak jam 8 pagi tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

"Jenazah bapa saudara akan disembahyangkan di Masjid Pondok Sungai Durian pada jam 5 petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pondok Sungai Durian," katanya di sini, hari ini.

Katanya, bapa saudaranya itu adalah pengasas bersama bapanya, Allahyarham Abd Rahman Sulaiman yang menubuhkan Pondok Sungai Durian pada Jun 1958.

Beliau berkata, arwah bapa saudaranya dilantik sebagai pengetua pondok sejak 1988.

Berita Harian X