Isnin, 1 Mei 2017 | 9:06pm
PENGARAH Urusan Mak Cun Mart, Eirma Fatima (tiga kanan) melayan tetamu yang hadir pada majlis perlancaran kedai Mak Cun Mart di Ukay Bistari. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Mak Cun' bantu lariskan produk


PENGARAH Urusan Mak Cun Mart, Eirma Fatima pada majlis perlancaran kedai Mak Cun Mart di Ukay Bistari. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

AMPANG: Pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima, mengaku mempergunakan populariti drama bersiri lakonannya, Mak Cun, apabila menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Erma berkata, beliau akan menggunakan kesempatan berkenaan dengan sebaik mungkin bagi tujuan kebaikan ketika drama siaran TV3 itu menjadi sebutan ramai.

"Peluang hanya datang sekali dan kesempatan itulah yang saya akan gunakan untuk mengeluarkan produk berjenama Mak Cun, seperti makanan dan pakaian.

"Dalam drama itu, selain mempromosikan produk keluaran industri kecil dan sederhana (IKS), pakaian juga antara perkara yang saya titik beratkan.

"Berikutan itu, di bawah jenama terbabit, saya turut mengeluarkan pakaian seperti baju kurung dan kebaya kerana saya mahu mengembalikan semula zaman kegemilangan busana tradisional kita," katanya.

Pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini ditemui pada majlis pembukaan Mak Cun Mart di Residensi Bistaria, Ampang, di sini, hari ini.

Kata Erma, seperti pernah dijanjikannya sebelum ini, beliau menceburi perniagaan bagi membantu pengusaha produk IKS memasarkan barangan keluaran mereka dengan lebih meluas.

"Kiranya, mereka menumpang populariti Mak Cun jugalah.

"Jika sebelum ini produk mereka sukar untuk dipasarkan secara meluas, saya cuba membantu dengan membeli barangan mereka secara pukal dan menjualnya semula dengan jenama baharu," katanya.

Berita Harian X