Isnin, 1 Mei 2017 | 9:16pm

Dua sahabat maut dirempuh SUV

CHUKAI: Dua sahabat maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 25, Jalan Mak Lagam - Cheneh, dekat Bandar Baru Cheneh, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang, Rosli Husin, 25, dan Safie Yusof, 28, yang menaiki sebuah motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Dua lelaki terbabit dipercayai dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dari arah Cheneh yang terbabas ke laluan bertentangan di satu selekoh.

Rempuhan menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke tebing berhampiran jalan berkenaan. 

Pada masa sama, sebuah pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki pasangan suami isteri di belakang motosikal mangsa gagal mengelak dan melanggar SUV terbabit hingga mengakibatkan ia terbalik. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata pemandu SUV terbabit, Mohd Hafeez Sulong, 25, dari FELDA Neram 2, Bandar Cheneh Baru, cedera dalaman pada badan dan kepala.

Manakala, pemandu kenderaan 4WD, Mohd Yusmali Mohd Yusoff, 51, pula cedera di tangan dan kaki sementara isterinya, Zaleha Abu Bakar, 49, cedera di tulang rusuk dan tangan kiri.

Jenazah kedua-dua mangsa dibawa bilik Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan. 

Mohd Said berkata, tiga mangsa yang parah turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan namun Mohd Hafeez dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut kerana keadaannya yang kritikal.

Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X